Jumat, 26 November 2010

Kisah Nabi Yusuf

NABI YUSUF
Kaabah
Hari sudah pagi, matahari telah mengembangkan sayapnya menyelubungi seluruh alam. Yusuf terbangun dari tidurnya sejak subuh tadi dengan muka yang berseri seri, kerana kini selain udara pagi yang enak dan nyaman, cahaya matahari kini berkemilauan dan pula kerana dalam tidurnya semalam dia bermimpi menarik sekali. Dengan tersenyum manis dia lalu pergi mendapatkan bapanya Nabi Yaakub bertanyakan kalau kalau ada khabar baik dari mimpinya itu: Ya bapaku, saya sudah bermimpi malam tadi, sebuah mimpi yang sangat baik, kerananya saya sangat berbesar hati, senang perasaan. Dalam mimpi itu saya melihat sebelas bintang, matahari dan bulan kesemuanya sujud kepada saya. Cubalah bapa terangkan kepada saya akan takwil mimpi itu, karena saya tidak tahu akan takwilnya. 
Mendengar mimpi anaknya yang sebaik itu, Nabi Yaakub tersenyum gembira lalu berkata: Hai, anakku! Mimpimu itu adalah mimpi yang benar, menjadi kenyataan sekarang apa yang aku sangka sangkakan selama ini terhadap dirimu, dan segala sesuatu yang aku harap harapkan atasmu. Itulah dia khabar gembira dari Allah yang akan mengistimewakan engkau dalam pengetahuan, akan memberi engkau nikmatNya yang banyak. sebagaimana juga nenek nenekmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak sendiri dahulu sebelum kamu ini. 
Aku menasihatkan kepadamu, agar engkau jangan sekali kali menceritakan mimpimu itu kepada saudara saudaramu, sebab aku tahu bahawa saudara saudaramu itu telah menaruh hati yang buruk terhadap dirimu dan saudaramu, Bunyamin, lantaran aku mengistimewakan engkau berdua dalam asuhanku. 
Aku sudah mendengar sendiri pada hari ini bahawasanya saudara saudaramu itu telah membicarakan hal kamu berdua dengan pembicaraan yang sungguh tidak enak didengar. Kalau engkau ceritakan pula mimpimu kepada mereka, pastilah akan bertambah kedengkian mereka itu, mungkin kebencian mereka akan bertambah tambah kepadamu berdua, mungkin pula mereka akan memperdayakan engkau dengan berbagai bagai jalan dan akal, maklumlah mereka itu sudah dipengaruhi oleh syaitan, sedang syaitan itu adalah musuh yang sebesar besarnya bagi manusia. 
Yusuf adalah anak yang luar biasa di antara anak anak Nabi Yaakub yang banyak itu, kerana bagus dan elok rupanya, baik perangainya, dalam pemikirannya dan luas pengetahuannya. Ibunya (Rahil) meninggal dunia ketika dia dan adiknya Bunyamin masih kecil, masih berumur dua belas tahun saja. Karena kematian ibunya inilah, maka bapanya Nabi Yaakub sangat cinta terhadap kedua anaknya ini, iaitu Yusuf dan Bunyamin. Itulah yang menyebabkan saudara saudaranya yang lain dengki dan irihati terhadap kedua saudara yang tidak beribu ini. Apalagi setelah Yaakub mendengar dan mengetahui akan mimpi Yusuf itu, semakin bertambahlah sayangnya terhadap Yusuf dan semakin bertambah pula pengawasannya untuk keselamatan Yusuf bersama adiknya. Hal ini menyebabkan bertambah kebencian saudara saudaranya terhadap Yusuf sendiri berserta adiknya itu. 
Walau bagaimana juga, kebencian dan kedengkian itu tidak dapat ditutup dan disembunyikan sama sekali. Begitu juga rasa cinta terhadap seseorang, sebagaimana rasa sayang Yaakub terhadap Yusuf dan adiknya pun tidak dapat ditutup dan disembunyikan; pasti ketahuan dan kelihatan jua. Begitulah, saudara saudara Yusuf itu semuanya sudah mengetahui betul akan sikap bapa mereka terhadap Yusuf dan adiknya. Yusuf dan Nabi Yaakub sendiri mengetahui benar akan perasaan saudara saudara Yusuf terhadapnya. 
Pada suatu hari, mereka yang dengki dan benci kepada Yusuf itu lalu berkumpul dan bermesyuarat. Sama sama mengemukakan perasaan masing masing atas peri laku bapanya yang dianggapkan tidak adil itu. Salah seorang di antara mereka berkata: Sudah sama sama kita lihat sendiri, bahawa Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita berbanding dengan kita semua. 
Saya tidak mengerti, apakah yang telah menyebabkan bapa kita berperangai demikian, bukankah kita sekalian ini yang besar dan tua dari Yusuf dan adiknya, kitalah yang lebih kuat, bukankah kita sudah banyak berjasa menjaga dan memelihara Yusuf sendiri, tetapi kenapa dia yang lebih disayangi? Apakah karena Yusuf lebih mulia daripada kita? Dan tidak ada keterangan yang dapat saya percayai yang menyatakan bahawa Yusuf lebih mulia. Apakah kerana Rahil, ibunya lebih dekat di hati bapa daripada ibu ibu kita sendiri? Kalau begitu apa kesalahan si anak sekali pun berlainan kecintaan terhadap ibu ibu kita? Kalau begitu bapa kita sungguh sungguh keliru sekali. 
Berkata pula seorang yang lain: Kelebihan bapa terhadap Yusuf sudah terang, sebagai terangnya matahari di tengahari. Kesayangan itu timbulnya dalam hati dan sangat berkuasa. Kesayangan itu tidak dapat dihilangkan hanya dengan kata kata dan bujukan, tidak dapat dengan kepintaran akal sebab cinta itu berdiri atas akal itu sendiri. Selama Yusuf masih berada dalam lingkungan keluarga kita, selama itulah cinta bapa kepadanya akan terus berlangsung, sebaliknya kita akan di ketepikan. Tidak ada jalan lain yang dapat melaksanakan niat kita, kecuali menghapuskan Yusuf dari pergaulan kita, dengan membunuhnya dan menghilangkan semua bukti bukti atas pembunuhan itu, atau kita bawa dia ke tempat yang jauh, kita berikan kepada binatang buas atau kita kuburkan hidup hidup di gurun pasir yang panas itu. Lama kelamaan sayang bapak terhadap kita akan timbul dengan sendirinya, kerana Yusuf yang dicintainya sudah tidak ada lagi. Kemudian kita mohon ampun kepada Tuhan atas semua dosa yang kita perbuat itu. Sesudah itu kita tidak akan berbuat jahat lagi. 
Lalu tampil pula ke muka berbicara Yahuza, iaitu seorang yang paling baik hatinya di antara kesemua adik beradik itu, paling dalam pemikirannya dan tajam pula otaknya: Kita sekalian adalah anak Nabi Yaakub, keturunan dari Nabi Ibrahim yang mulia. Kita mempunyai akal dan agama. Pembunuhan tidak dibenarkan oleh akal dan dilarang keras oleh agama. Sedang Yusuf tidak bersalah sedikitpun, tidak pernah berdosa, juga tidak pernah berbuat tidak baik terhadap kita. Bila kamu sekalian ingin menjauhkan Yusuf dari kita, bawa sajalah dia ke telaga Jub, yang letaknya jauh dari sini, tempat orang yang singgah mengambil air. Taruhlah Yusuf dalam telaga itu, lalu ditinggalkan di sana, agar dia diambil orang orang yang lalu lintas di sana sebagai anak angkatnya. Biar dibawa orang itu ke mana mereka pergi, sehingga Yusuf tidak dapat kembali ke tengah tengah kita buat selama lamanya. Dengan jalan begini, kita terhindar dari dosa pembunuhan. Pandangan Yahuza ini masuk akal mereka itu semua, mereka lalu sepakat akan menjalankannya selekas mungkin. 
Pagi pagi benar keesokan harinya, mereka pergi bersama sama mengunjungi bapanya, lalu berkata: Ya, bapa kami! Percayalah bapa kepada kami tentang Yusuf. Dia adalah saudara kami sendiri, anak bapa semuanya. Kami cinta kepadanya sebagaimana sayang bapa sendiri terhadapnya. Biarkanlah dia besok pagi pergi bersama sama kami ke bukit itu, di mana udara agak sejuk dan pemandangannya indah, dengan langit yang bersih tak berawan, matahari yang bersinar. Kami ingin bermain main dengan dia, bersama sama memanjat memetik buah, menggembala kambing. Kalau bapa izinkan, kami sekalian akan bertanggungjawab atas keselamatannya, kekuatan dan keberanian kami akan menjaganya, jiwa kami sekalian menjadi pertaruhannya. 
Mendengar perkataan itu, Nabi Yaakub menjawab: Aku khuatir akan terjadi sesuatu akibat yang kurang baik, yang tak diinginkan. Aku tak berkeberatan Yusuf terjauh dari aku, yang aku khuatirkan takut kalau kalau kamu pergi dengan dia kamu terlalai, lalu dia ditangkap serigala dan dimakannya; kamu kembali tanpa Yusuf, tentu aku berhati sedih. 
Mereka menjawab pula: Apakah dia akan ditangkap serigala, sedang kami semua menjaganya? Tidak seorang pun di antara kami ini penakut dan berbadan lemah. Bila terjadi apa yang bapa khuatirkan itu, kami sekalian turut kehilangan saudara kami sendiri. 
Sekalipun tetap khuatir, tetapi Yaakub tidak dapat menjawab pembelaan mereka, selain hanya berkata: Kalau begitu jagalah Yusuf baik baik jangan dilalaikan sedikitpun dari penglihatan dan apa yang kamu kerjakan Allahlah yang mengetahuinya. 
Keesokan harinya, mereka bawalah Yusuf bersama sama ke tempat yang jauh sejauh jauhnya, menuju ke telaga yang sudah ditentukan mereka. Sebelum sampai ke telaga, niat mereka yang buruk itu tidak dapat mereka dibendung lagi, kerana desakan hati yang jahat, kedengkian yang memuncak. Setelah sampai di telaga, Yusuf ditelanjanginya dan mereka masukkan ke dalamnya. Mereka lalu kembali pulang sambil membawa bajunya, Yusuf ditinggalkan sendirian di dalam telaga yang dalam, menunggu nasib takdir Ilahi atas dirinya. 
Dengan jalan begitu menurut sangka mereka, mereka telah dapat mengubati sakit hatinya selama ini; mereka mengira bahawa lama kelamaan bapa mereka akan melupakan Yusuf dan tidak akan mengingatinya lagi, mereka lupa akan kekuasaan Allah. Mereka lupa bahawa Allah selalu dapat melepaskan hambaNya yang tak bersalah, melindungi orang yang Ia kehendaki. 
The Great Mosque, Cordoba, Spain. Inside of the dome.
Di kala senja hari, mereka sudah kembali di rumahnya; lalu datang menemui bapa mereka dengan kata kata dan kalimat yang sudah mereka susun, untuk membohongi orang tuanya sendiri. Dengan bertangisan tersedu sedu, sambil memegang baju Yusuf yang sudah dilumuri dengan darah yang mereka cari sendiri untuk berbohong, lalu berkata: Ya, bapa kami! Rupanya terjadi juga apa yang bapa khuatirkan itu. Yusuf terlalai sebentar dari pandangan mata kami kerana kami berjalan terdahulu. Tidak kami ketahui, bahawa dikala itu seekor serigala telah menerkam Yusuf, lalu memakannya. Hanya tinggal bajunya yang sudah berlumuran darah saja. Inilah bajunya itu, sebagai bukti dari apa yang kami terangkan. Kami sedih sesedih sedihnya. Barangkali juga bapa tidak percaya kepada kami, sekalipun kami berkata benar. 
Yaakub menjawab dengan sedihnya: Nafsu kedengkian kamu telah menyebabkan kejadian yang mengerikan ini. Kejadian itu sudah terjadi. Tidak ada yang lebih baik bagiku selain bersabar, sampaidatang saatnya nanti, di mana akan ternyata apa sebenarnya yang terjadi. Hanya kepada Allah aku mohon pertolongan atas segala galanya. 
Di dalam telaga yang dalam, yang terletak jauh di tengah tengah padang pasir, gelap dan sunyi pula, sungguh merupakan satu ujian yang berat bagi pemuda yang bernama Yusuf. Memang sudah menjadi kudrat dan iradat Allah Yang Maha Kuasa, untuk menguji hambaNya yang taat dan bakti kepadaNya dengan berbagai bagai cubaan yang berat berat. Bukan dengan maksud menyeksa dan menyakitinya. Dengan pengertian beginilah kita harus memahami akan segala nasib dan musibat yang menimpa diri berbagai bagai Nabi, Rasul dan orang orang suci lainnya. 
Dibandingkan dengan lain lain ujian yang pernah diderita oleh para Nabi dan Rasul, mungkin cubaan yang dialami Yusuf ini agak ringan juga. Hanya yang paling berat dirasakan oleh Yusuf, adalah kerana yang melakukan pekerjaan ini terhadap dirinya bukanlah orang lain, tetapi adalah adik beradiknya sendiri dan sedarah dengan dia yang menjadi musuhnya. Yusuf tetap tenang dalam telaga yang gelap dan dalam itu, sebagai seorang muda yang mulia, tahan uji serta tabah. 
Matanya mulai melihat keliling dinding telaga yang curam dan dalam. Tidak ada yang dapat dilihatnya kerana gelapnya, selain air yang tenang dan jernih dari telaga itu sendiri. Bagaimana perasaan Yusuf dan apakah gerangan yang menjadi pemikirannya ketika itu, susah kita dapat menekanya. Yang terang, ingatannya selalu pergi ke arah bapanya yang begitu sayang terhadap dirinya. Terbayang dalam fikiran Yusuf bagaimana sedih bapa yang ditinggalkannya, sedih yang tak dapat dibayangkan dengan pena atau lisan. 
Lapar pun mulai menyerang perutnya. Tetapi di mana dia akan beroleh makanan? Dan berapa lamakah dia akan tahan menahan lapar? Semuanya itu diserahkannya bulat bulat kepada Allah Yang Maha Kuasa lagi amat Bijaksana. Dalam menanggungkan sedih dan lapar yang sedang memuncak itu, tiba tiba terdengar jelas wahyu Ilahi menembus jiwanya:
Sabar dan sabarlah engkau, hai Yusuf, Aku Tuhanmu akan memberi jalan lepas kepadamu, Aku pertemukan engkau dengan saudara saudaramu itu, tetapi sesudah bertahun tahun kemudian. Dengan menerima wahyu yang demikian bunyinya, hilanglah kesedihan dan kesengsaraan batin yang diderita Yusuf. Dia menunggu bagaimana caranya bantuan Allah itu datang kepadanya. Sejurus kemudian, telinganya mulai mendengar detak-detik, gerak dan geri di atas padang pasir sekitar telaga itu. Telinganya dipasangnya sebaik baiknya 
Terbukti bahawa suara itu semakin dekat dan semakin terang juga. Akhirnya ternyata bahawa suara itu adalah suara tepak kaki manusia yang sedang berjalan. Ternyata akhirnya, bahawa di dekat tempat itu sedang lalu satu kafilah, iaitu rombongan musafir unta di padang pasir. Bibir Yusuf mulai memperlihatkan senyuman, kembang harapan mulai merekah dan terbuka dalam kalbunya. Saat terlepas rupanya sudah dekat waktunya. 
Terdengar jelas, para musafir itu melepaskan tongkat mereka di tepi telaga itu, tanda bahawa mereka mengambil tempat itu sebagai tempat istirahat. Terdengar pula suara pemimpin kafilah memerintahkan seseorang untuk mengambil air dari telaga itu untuk melepaskan dahaga mereka serta dahaga unta untanya. 
Sebuah gayung air yang besar meluncur dari atas ke dalam telaga itu, tepat jatuhnya di hadapan Yusuf; dengan segera Yusuf merangkul gayung itu serta berpegang dengan kedua tangannya pada tali gayung. Tali ditarik orang ke atas, akhirnya tiba di permukaan bumi. Baru saja orang yang menarik gayung itu melihat wajah Yusuf yang sedang berpegang pada tali gayung itu, dia berteriak sekuat hatinya kerana gembira: Nah, alangkah untungnya, ini adalah seorang anak, anak yang cantik molek. Segera Yusuf dikerumuni oleh semua manusia yang turut dalam rombongan kafilah itu. Dengan riang gembira dan penuh kehairanan, dari mana datangnya anak ini. 
Akhirnya mereka sepakat akan menjual Yusuf, bila sudah tiba di kota yang mereka tuju; karena begitu kehendak sebahagian mereka yang ingin mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri, sekalipun ada pula di antaranya yang berperikemanusiaan, ingin mengembalikan Yusuf kepada orang tuanya, atau ingin menjadikan Yusuf sebagai anak angkatnya. 
Kafilah itu lalu meneruskan perjalanannya menuju ke negeri Mesir. Nabi Yusuf dibawa ke pasar budak untuk dijual. Akhirnya Yusuf dijualnya dengan tidak banyak tawar menawar, hanya dengan beberapa dirham saja. Mereka jual dengan murah, ada yang kerana kasihan dan keikhlasan hati, ada pula yang kerana takut kalau kalau menjadi perkara yang berpanjangan. Yang sebenarnya seluruh kekayaan yang ada di permukaan bumi ini, belum tentu cukup untuk harga diri Yusuf yang mulia dan suci itu. Yusuf dibeli oleh seorang pembesar negara Mesir, yang memegang tampuk kekuasaan dalam negara itu, Futifar namanya. Dan pula menjadi salah seorang menteri yang terbesar. 
Dengan gembira dan rasa beruntung, pembesar itupun segera membawa Yusuf pulang ke rumahnya, lalu ditunjukkan kepada isterinya sambil berkata: Anak ini menurut tanda tanda yang saya lihat pada dirinya dari keterangan tabiat dan wajahnya, adalah seorang anak yang berasal dari orang yang mulia dan terhormat. Terimalah dia dalam kekeluargaan kita, beri tempat yang terhormat kepadanya, jangan diperlakukan sebagai khadam, jangan dianggap sebagai budak belian, sekalipun dia memang kita beli sebagai budak. Saya yakin, bila anak ini sudah dewasalah, menjadi orang yang berumur, akan memberi manfaat kepada kita, atau mari kita ambil dia sebagai anak angkat kita sendiri. Isteri pembesar itupun turut senang dan gembira dengan adanya Yusuf di kalangannya, sebagai anaknya sendiri yang berkebetulan dia sendiri tidak punya anak. 
Begitulah Yusuf tinggal di rumah itu sebagai rumahnya sendiri. Dia turut mengerjakan segala sesuatu yang pantas dikerjakannya, dengan rajin dan penuh dipercayai sebagai keluarga, bukan sebagai budak atau khadam. Baik lakunya terhadap anggota rumahtangganya, begitu pula terhadap tetangga dan orang orang yang berdekatan dengan dia.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Powered by Blogger | Tested by Blogger Templates | Best Credit Cards